Thursday, March 5, 2009

LAHIRNYA SEBUAH CITA-CITA

Lama juga saya tidak update blog ini, saya agak sibuk kebelakangan ini dengan pelbagai projek, salah satu daripadanya untuk tahun 2009 adalah merupakan satu permulaan baru dalam bidang yang baru saya ceburi, yakni bidang perniagaan makanan atau lebih mesra dikenali sebagai F&B. Setelah lebih 3 bulan berhempas pulas, akhirnya Restoran Pak Su Corner berjaya dilahirkan semula. Pak Su Corner telah beroperasi di Seksyen 16 Shah Alam hampir 4 tahun yang lepas, sebelum itu ianya beroperasi di Seksyen 18 Shah Alam, diatas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, ianya telah dipindahkan ke Seksyen 16.

Saya telah menjadi pelanggan tetap Paksu Corner lebih 5 tahun, tapi kini ianya menjadi sebahagian daripada potfolio pelaburan saya. Setelah saling mengenali pemilik asal Pak Su Corner dengan lebih dekat, kami akhirnya bersetuju untuk menjadi rakan kongsi dan menyujudkan Heman Bersatu Sdn Bhd sebagai landasan pengurusan baru Pak Su Corner. Setelah kata sepakat di capai dan menterai, maka kerja-kerja pembaruan dan pengubahsuaian Pak Su Corner pun bermula. Daripada asalnya sebuah gerai kepada sebuah Restoran yang kini boleh memuatkan lebih 200 pengunjung pada satu-satu masa. Restoran Paksu Corner menyediakan makanan Melayu ala-kampung serta makanan Barat, Insyaallah setelah bilik makan berhawa dingin siap kelak , menu yang berlainan akan di perkenalkan pula.

Satu ketika dahulu ketika saya masih kanak-kanak, saya dibesarkan dengan hasil perniagaan nasi lemak dan kueh karipap, tidak sangka pula setelah lebih 30 tahun kemudian, saya menceburi perniagaan yang berasaskan makanan sama seperti mana pernah dilakukan oleh kedua Arwah Ayah dan Ibu dan Nenek dikampung satu waktu yang dulu. Ada juga yang bertanya dengan saya, kenapa melabur didalam industri makanan? terus terang jawapan yang keluar daripada saya ialah "paling tidak saya tidak kebuluran" , manakala jawapan yang lebih serius ialah ianya keperluan asas dan sebahagian daripada tuntutan fardhu kifayah sebagai seorang muslim.




Sebagai seorang pelabur, sudah semestinya saya tidak akan berhenti di sini sahaja, cita-cita saya selepas ini ialah untuk memperbesarkan lagi perniagaan dengan menambah bukan sahaja kapasiti tempat duduk untuk keselesaan pengunjung, malah untuk menambah cawangan restoran yang sedia ada. Saya bercadang untuk menambah lebih daripada satu cawangan pada satu bandar di seluruh negara kelak.

Selain daripada itu, saya juga bercadang untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan berasaskan makanan selain daripada menjadi operator Restoran yakni Katering untuk jamuan , penghantaran makanan , penyediaan bahan makanan siap dan separuh siap bagi industri makanan termasuk juga peruncitan makanan.

Perjalanan perniagaan saya masih lagi panjang , banyak lagi perkara yang perlu saya bereskan sebelum dapat melahirkan sebuah cita-cita. Ramai yang berkata "tahniah diatas kejayaan anda" , jawapan saya pula "terima kasih" , bagi diri ini , kejayaan itu belum lagi dicapai , apa yang dilihat hari ini hanyalah secebis kecil hasil daripada usaha yang telah dilaksanakan setakat ini.

Tidak saya nafikan, perniagaan ini memberikan pendapatan tambahan kepada diri saya, seperti yang pernah diajar oleh mentor-mentor saya yang terdahulu, berhenti berangan, buat dan jadikan sesuatu yang anda ingin sebuah realiti, ianya tidak sesusah yang kita fikirkan. Kalau kita buat apa yang kita nak buat, pasti ianya menjadi seperti mana yang kita kehendaki, jangan sesekali buat sesuatu perkara itu kerana orang lain atau kerana terpaksa. Pasti ianya akan menjadi penyesalan kelak.